Letusan punca ulat bulu membiak

Foto
ULAT bulu memasuki rumah penduduk di wilayah Pulau Jawa. Gambar kecil, menunjukkan spesies ulat bulu yang semakin membiak.

Tiupan angin bawa serangga 55km dari gunung Bromo

JAKARTA: Serangan berjuta-juta ulat bulu yang tidak dikenali spesiesnya hingga 'menyerang' tanaman dan kediaman di wilayah di Pulau Jawa minggu lalu, dipercayai mempunyai kaitan dengan letusan Gunung Bromo.
Gunung berapi aktif itu yang terletak di bahagian timur Pulau Jawa meletus akhir tahun lalu, memuntahkan lahar, awan debu dan hujan asid menyebabkan suhu di kawasan sekitarnya menjadi lebih panas.
Perubahan suhu ini disyaki mendorong ulat itu ‘berhijrah’ ke kawasan lebih lembab dan ada banyak bekalan makanan.

Sehingga kini, ulat bulu terbabit menyerang dan merosakkan lebih 15,000 pokok mangga di Probolinggo, dan pasti menjejaskan hasil buah-buahan itu musim ini.

Pakar serangga Pusat Pengendalian Makhluk Perosak Bersepadu Institut Teknologi Bogor, Hermanu Triwidodo, berkata penyelidikannya menunjukkan letusan Bromo pada Disember lalu mengakibatkan suhu sekitar kawasan itu lebih panas.

“Keadaan ini menyebabkan haiwan pemangsa semula jadi ulat, termasuk pelbagai spesies burung dan kerengga meninggalkan kawasan itu. Tetapi, ulat bulu mampu bertahan daripada udara panas,” katanya. 
Beliau berkata, tanpa pemangsa, ulat bulu membiak dengan cepat, kerana apabila seekor ulat bulu bertukar menjadi kupu-kupu, ia mampu menghasilkan 300 biji telur.

“Tempoh penetasan telur hingga menjadi kupu-kupu, hanya mengambil masa 35 hari. Walaupun cuma 100 telur menetas tempoh ketika letusan Bromo hingga awal April sudah menghasilkan lebih sejuta ekor ulat bulu,” katanya.

Hermanu berkata, ketika Bromo meletus, angin dari gunung itu menghala ke Probolinggo membawa bersama debu dan turut menerbangkan ulat bulu sejauh 55 kilometer (km).

“Di kawasan baru ini, ulat bulu dapat membiak dengan cepat kerana ia tidak mempunyai pemangsa semula jadi. Tanpa kehadiran ulat bulu pun, pemangsa di Probolinggo memang semakin kurang. Banyak spesies burung diburu, manakala koloni kerengga musnah apabila penduduk mengambil telurnya untuk dijadikan makanan burung,” katanya.

Hermanu juga mencadangkan pemilik ladang mangga yang terjejas, menggunakan baja organik dan baja kompos bagi mengelak tanaman mati.

“Baja organik mengekalkan kelembapan akar pokok. Selepas daun dimakan ulat, pokok mangga akan menghasilkan daun dan buah yang lebih baik,” katanya.

Ketua Makmal Serangga Fakulti Pertanian Universiti Brawijaya di Malang, Toto Himawan, berkata hingga kini pihaknya belum dapat menentukan spesies ulat bulu itu.

Pandangan beliau disokong pensyarah pengajian makhluk perosak Institut Pertanian Bogor, Dr Aunu Rauf yang mengesahkan ulat terbabit ‘berhijrah’ dari kawasan lain tetapi beliau pasti ia serangga asal Indonesia. – Agensi


Sumber : Berita Harian

ps : 'Ulat  bulu  pun  dah  pandai  serang  manusia'

0 comments:

top