HARAPAN seorang eksekutif fesyen untuk menggunakan gaji pertama di tempat kerja baru pada akhir Disember tahun lalu berkecai apabila wang sejumlah kira-kira RM1,000 dalam akaun banknya lesap dan meninggalkan baki hanya RM1.96.
“Saya sudah lama tidak gunakan akaun itu kerana tempat kerja sebelum ini mendepositkan gaji ke bank lain. Tak sangka wang gaji pertama saya hilang begitu saja sebelum sempat digunakan,” kata Fizwany Ariffin, 25, kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.
Ekoran kejadian itu, Fizwany membuat laporan di bank berkenaan cawangan Klang, Selangor serta mahu membuat semakan ke atas penyata kewangan akaunnya. Lebih mengejutkan apabila penyata kewangan itu menyenaraikan lebih 20 transaksi keluar masuk wang dalam akaun sehingga semua simpanan dihabiskan.
“Saya ada bertanya kepada pihak bank kenapa (transaksi) boleh berlaku tetapi mereka enggan mendedahkan perkara itu,” katanya.
Fizwany berasa keliru apabila pihak bank menggunakan alasan bahawa kejadian itu berpunca daripada sindiket selepas memberitahu kali terakhir mengeluarkan wang dalam akaun itu di Pulau Pinang. Tambahnya lagi, amat mengecewakan apabila pihak bank memberitahunya bahawa masalah itu hanya dianggap serius sekiranya wang simpanan lebih RM10,000.
“Kalau macam tu, semua pelanggan bank di Pulau Pinang tidak selamatlah? Sama ada saya mempunyai simpanan sebanyak RM10,000 atau sekecil RM1 sekalipun jika hilang dalam akaun bank, itu tetap masalah yang perlu diberikan perhatian secara serius oleh pihak bank.
“Sudahlah sukar untuk saya mendapat penyata kewangan bagi mengenal pasti transaksi yang sebenar bahkan diberikan layanan tidak beretika pula,” katanya dengan nada kesal.
Fizwany kemudiannya membuat aduan berhubung kejadian itu kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan dimaklumkan bahawa bank berkenaan akan memberi maklum balas dalam tempoh dua minggu selepas siasatan dijalankan.
Jumaat lalu, dia menerima surat maklum balas daripada bank berkenaan yang memaklumkan bahawa pihak bank tidak bertanggungjawab berhubung kehilangan wang tersebut kerana berdasarkan siasatan mendapati tiada kecuaian dalam sistem.
“Jika benar kehilangan wang tiada kaitan dengan sistem, kenapa hanya diperjelaskan melalui surat saja tanpa memberikan sebarang bukti atau butiran terperinci,” katanya.
Fizwany yang tidak berpuas hati dengan keputusan bank berkenaan yang mengambil sikap ‘lepas tangan’ itu mahu membuat laporan susulan kepada pihak polis dan BNM.
Mangsa mesin automatik bank
MISTERI kehilangan wang dalam akaun bank dalam beberapa kes yang dilaporkan oleh pelanggan sering dikaitkan dengan kewujudan transaksi ‘berhantu’.
Entah di mana silapnya, segelintir pelanggan turut menjadi mangsa kehilangan wang apabila mereka melakukan transaksi menerusi mesin automatik di bank.
Hakikatnya, begitulah yang dihadapi oleh seorang usahawan, Chik Kwai Cheng, 40 apabila wangnya sejumlah RM1,500 lesap sewaktu mahu mendepositkan wang dalam akaun adik perempuannya menerusi mesin deposit tunai.
Cheng berkata, pada hari kejadian dia memasukkan wang sebanyak RM5,000 ke dalam mesin deposit tunai di sebuah bank cawangan Ampang, Selangor pada 10 Februari lalu namun selepas pengiraan dibuat hanya menyatakan RM3,500.
“Mana lagi RM1,500? Saya membatalkan transaksi tersebut namun baki yang dikembalikan masih kekal RM3,500,” katanya.
Kehilangan baki RM1,500 miliknya menjadi tanda tanya berikutan tiada resit dikeluarkan daripada mesin berkenaan dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu. Menurut Cheng, dia ada menghubungi talian khidmat aduan bank berkenaan dan dimaklumkan untuk menunggu dalam tempoh tujuh hari bekerja.
“Saya datang ke bank berkenaan selepas masih tidak mendapat maklum balas. Pihak bank memberitahu saya untuk tunggu dan terus tunggu lagi,” katanya.
Menurut Cheng, dia mengambil keputusan untuk membuat laporan kepada pihak polis agar pihak bank mengambil perhatian lebih serius untuk menyelesaikan kes tersebut. Jelasnya, pihak bank boleh melakukan siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian dan menjelaskan punca sebenar.
“Kenapa susah sangat? Takkan mahu tunggu lagi? Kejadian yang berlaku membuatkan saya takut untuk menggunakan mesin di bank lagi,” katanya.
Seorang pembantu stor, Sarce Nani Marthen Kare, 23, turut kehilangan wangnya sebanyak RM1,000 apabila mahu mengeluarkannya dari mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah bank lain di Subang Jaya, Selangor menerusi perkhidmatan MEPS.
Sarce yang berasal dari Kota Kinabalu berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 8.30 malam pada 27 Februari lalu.
“Bagaimanapun ATM memaklumkan bahawa transaksi saya dibatalkan. Saya kemudiannya menyemak semula simpanan wang dalam akaun bank. “Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati baki simpanan menyusut sebanyak RM1,000 sedangkan transaksi sebelum itu dibatalkan,” katanya.
Dia kemudiannya membuat beberapa laporan berhubung kejadian kepada bank yang menyediakan ATM itu, bank bagi akaunnya termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).
“BNM sudah pun memaklumkan bahawa bank terbabit akan memberi maklum balas dalam tempoh seminggu dari tarikh emel tersebut iaitu 21 Mac 2011. Sekarang saya perlu menunggu lagi sedangkan laporan sudah pun dibuat sejak 28 Februari lalu,” kata Sarce.
Tambahnya lagi, dengan gaji bulanan sebanyak RM1,400 menyukarkannya untuk berbelanja berikutan kehilangan RM1,000 itu.
“Saya terpaksa berpuasa dan pernah makan nasi dengan sambal saja untuk mengikat perut. Mujur majikan, rakan sekerja dan keluarga begitu memahami,” katanya.
Sumber : mstar.com.my
ps : 'kegiatan mencuri semakin canggih'
0 comments:
Post a Comment